Tarikh Lanjutan BR1M RM500
Tarikh akhir penghantaran borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500 telah dilanjutkan kepada 10 Februari 2012. Jadi masih ada kesempatan kepada yang mereka yang layak tapi belum menghantar borang tersebut.
Namun bagi mereka yang telah menghantar borang, pembayaran RM500 akan bermula pada 15 Januari 2012.
Petikan penuh BERNAMA:
Penerimaan borang BR1M dilanjutkan sehingga 10 Februari
2012/01/12
KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan tempoh penerimaan borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) selama sebulan iaitu sehingga 10 Februari depan.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata orang ramai yang lewat menyerahkan borang permohonan BR1M masih boleh menghantar borang permohonan itu ke pejabat cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia dan agensi kerajaan yang berkaitan, sehingga tarikh berkenaan.
Sehingga 10 Januari, juga, 3,102,054 permohonan sudah diluluskan.
Ahmad Husni berkata, baki permohonan sedang melalui proses pengesahan dan dijangka selesai pada 13 Januari ini.
“Bagi pemohon yang gagal, rayuan semula boleh dibuat,” katanya.
Kementerian Kewangan menyediakan format khas untuk rayuan BR1M yang boleh didapati di pejabat cawangan LHDN dan agensi kerajaan yang berkaitan, serta dimuat turun daripada laman web Kementerian Kewangan (www.treasury.gov.my).
- BERNAMA
Pembayaran BR1M mulai 15 Januari
2012/01/12
KUALA LUMPUR: Pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan dilakukan selama dua bulan bermula 15 Januari ini dalam bentuk baucar tunai, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ahmad Husni berkata majlis penyerahan baucar kepada pemohon yang berjaya akan diadakan secara berperingkat-peringkat di seluruh negara.
“Dalam tempoh itu, setiap pemohon yang berjaya akan menerima surat pemakluman masing-masing secara berperingkat-peringkat dengan disertakan tarikh dan tempat majlis penyerahan baucar diadakan,” katanya.
Pemohon juga, katanya, boleh menyemak status permohonan mereka dengan menelefon talian hotline 1-800-222-500/1-300-88-3010 mulai 16 Januari ini.
Talian ini beroperasi dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari bekerja.
Kerajaan juga akan memudahkan urusan orang ramai di kawasan luar bandar menunaikan baucar BR1M dengan menyediakan kaunter bergerak Bank Simpanan Nasional, CIMB dan Maybank pada majlis penyerahan itu.
Baucar juga boleh ditunaikan di cawangan bank berkenaan di seluruh negara.
Tempoh sah laku baucar adalah sehingga 15 April tahun ini. – BERNAMA





Komen Terbaru